Pengajian Bersiri Manasik Haji dan Umrah dengan menekankan method pengajian secara Talaqqi Berkitab untuk memelihara keaslian ilmu manasik Haji dan Umrah

Wednesday 12 October 2016

LABU YANG DIMAKAN OLEH BAGINDA NABI SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM

LABU YANG DIMAKAN OLEH BAGINDA NABI SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM

Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam sangat menyukai Dubba' ( Labu). Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam AtTirmizi rahimahullah di dalam kitabnya yang masyhur dan barakah iaitu asSyamail al-Nabiyy.


Ada yang tertanya , labu yang bagaimana Baginda sukai? Adakah labu kuning yang sering kita makan atau bagaimana bentuknya?

Saya telah membaca kitab Munyatul Salik Khulasatul Syamail karangan guru kepada guru-guru kami, al-Imam al-Hafidz al-Syariff Muhammad Abdul Hayy bin Abdul Kabir al-Kattani rahimahullah ( wafat 1382 Hijriyyah bersamaan 1962). Beliau membahaskan secara terperinci tentang perkara tersebut.

Kata beliau : Para ulama berbeza pandangan padanya. Al-Imam Ahmad bin Abdul Qadir al-Qadiri ( wafat 1113 Hijriyyah) mengatakan bahawa labu yang disukai Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam tidak ada di bumi Maghrib.

Manakala al-Imam Abu Zaid Abdul Rahman bin Abdul Qadir al-Fasi rahimahullah ( wafat 1096 Hijriyyah) telah menyebut di dalam sebahagian kitabnya bahawa yang dimaksudkan dengan labu itu ialah Qar' al-Salawi
( Labu Salawi - lihat gambar-).



Beliau mengatakan sedemikian dengan beberapa sebab. Antaranya ialah :

1)    Labu ini adalah merupakan labu yang terbaik. Baginda Nabi tidak akan menyukai sesuatu melainkan perkara yang terbaik.

2)    Para ulama menyebutkan sifat Labu yang dimakan oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam adalah panjang dan boleh ditebuk buat dijadikan bekas sesuatu.


Al-Imam Abdul Hayy al-Kattani rahimahullah mengatakan bahawa sebahagian orang Soleh di Sala ( Bandar Maghrib Kuno ) menceritakan kepada beliau bahawa Labu ini dinisbahkan kepada Sala kerana Sayyiduna Yunus alaihi assalam ketika dikeluarkan daripada perut ikan Nun maka ditumbuhkan pohon Yaqthin ( Labu ). Tempat tersebut dikatakan di Sala, Maghribi.

Labu atau Yaqhtin yang dimaksudkan adalah Labu Sala ini. Mereka juga mengatakan bahawa Nabi Allah Yunus alaihi assalam dimaqamkan di tempat mereka.
Saya berkata : Kemungkinan labu ini juga disebut dengan Labu Air bagi masyarakat kita di Malaysia dan Nusantara. Rasanya manis dan dibuat sup serta diletakkan di dalam gulai makanan kita. Wallahu a'lam.

Saya mencintai apa sahaja yang dicintai oleh Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam.



No comments:

Post a Comment

Memaknai Ibadah

Memaknai Ibadah